PENGESAHAN KONSTRUK UTAMA INSTRUMEN PEMIKIRAN MATEMATIK BAGI GURU MATEMATIK SEKOLAH RENDAH MENGGUNAKAN PENDEKATAN FUZZY DELPHI
Abstract
Pemikiran matematik guru merupakan komponen kritikal dalam menentukan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran matematik, namun kekurangan instrumen khusus yang sah dan boleh dipercayai bagi mengukur konstruk ini secara empirikal masih menjadi isu dalam bidang pendidikan matematik. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk mengesahkan konstruk utama dan item bagi Instrumen Pemikiran Matematik dalam kalangan guru matematik sekolah rendah yang dibangunkan berasaskan Model PUSH TO MINUTE. Kajian ini dilaksanakan menggunakan pendekatan Penyelidikan Reka Bentuk dan Pembangunan yang memfokuskan kepada fasa reka bentuk dan pembangunan, dengan mengaplikasikan kaedah Fuzzy Delphi Method (FDM) bagi mendapatkan kesepakatan pakar secara sistematik. Seramai sebelas orang pakar yang terdiri daripada pensyarah, pegawai pendidikan, dan guru berpengalaman telah dipilih melalui persampelan bertujuan. Instrumen kajian berbentuk soal selidik menggunakan skala Likert lima mata bagi menilai kesesuaian dan kerelevanan item. Data dianalisis berdasarkan tiga kriteria penerimaan utama, iaitu nilai ambang kurang atau sama dengan 0.2, peratus kesepakatan pakar sekurang-kurangnya 75 peratus, dan nilai defuzzification sekurang-kurangnya 0.5. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kesemua item bagi tujuh konstruk utama mencapai tahap kesepakatan pakar yang tinggi, dengan nilai ambang antara 0.000 hingga 0.050, peratus kesepakatan antara 91% hingga 100%, dan skor defuzzification antara 0.782 hingga 0.800. Keputusan ini mengesahkan bahawa kesemua konstruk dan item yang dibangunkan mempunyai tahap kesahan kandungan yang sangat tinggi. Kesimpulannya, instrumen ini berpotensi untuk digunakan dalam menilai tahap pemikiran matematik guru secara sistematik dan komprehensif, serta sedia untuk melalui proses pengujian kebolehpercayaan dan pentadbiran kajian lapangan.
Downloads
Downloads
Published
How to Cite
Issue
Section
License
Copyright (c) 2025 INTERNATIONAL JOURNAL OF EDUCATIONAL RESEARCH ON ANDRAGOGY AND PEDAGOGY

This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial 4.0 International License.



